Friday, September 5, 2008

Teduh Dulu . . .

kata salsabila fahim, ini cerita kecil
cerita sederhana, tentang dia berlari berteduh
di bangsal di puncak bukit,
bersama kamil dan lam ping hai ketika
hujan mula gerimis.
kata aku, ini perkara besar,
hal berteduh sementara duga datang mencuba
bukan hal main-main
kata teh sofia, ya,
kerja tuhan siapa tahu?
kata aku, tuhan akan menunjukkan
pada siapa yang mencari. ya, asal kau mahu mencari
Dia menunjukkan.
apa kata kau???


Salam untuk kalian,

Syukur ke atas Ilahi kerana masih diberi peluang untuk terus bernafas di pentas dunia ini. Saya baru sahaja menghabiskan pembacaan Tunggu Teduh Dulu buat kali ke-2 dan ingin rasanya berkongsi di ruangan ini. Sebelum ini saya hanya membacanya di ruangan Utusan pada tahun 2003 iaitu setiap Isnin dan Rabu. Tidak sabar rasanya untuk menunggu episode yang akan datang dan sekarang Tunggu Teduh Dulu karya FT sudah berada dalam genggaman. Seperti karya-karyanya yang lain, FT tidak pernah mengecewakan pembacanya.

Salsabila Fahim. Air sungai yang sentiasa mengalir di syurga. Seperti dirinya juga, aliran tauhid mengalir di segenap nadinya.Lafaz kata-katanya penuh dengan Kalamullah. Terisi dengan segala Hadis Nabi juga padat dengan sirah para Sahabat. Tidak kira urusan seharian, diri, keluarga dan juga kerjayanya haruslah Salsabila mengikut Hukum Allah yang jelas itu.Salsabila, seorang wanita yang tabah dalam mengharungi dugaan yang melanda. Datanglah ribut memunahkan anak pohon betiknya, Salsabila masih mampu bersabar. Tidak cukup dengan itu, adik yang cuba memperkosanya juga ditangani dengan hanya memdiamkan diri dan memaafi.


Pesan Sazli kepada Salsabila;

"Islam proses Sayidina Umar. Itu Sal kena ingat. Juga yang Sal kena ingat, ya, abang juga harus ingat kerana Sal isteri abang dan ini melibatkan manusia yang cuba merosakkan isteri abang dan fakta dia adik kepada isteri abang, bahawa manusia seperti tumbuhan yang baik. Tumbuhan yang bermanfaat macam betik kita itu, dibaja, diteduhkan dan di jaga elok. Tumbuhan jahat macam lalang dan rumput liar tumbuh sendiri. Tak ada baja tak ada tempat berteduh, naik dimana-mana. Jadi satu kerja untuk menarah dan mencabutnya. Perlahan-lahanlah kita kena hadapi perkara ini, sama-sama membaja dia dengan kebaikan. "

Islam memaafkan... Islam membersihkan... Islam meneduhkan. Islam buat begitu kepada Sayidina Umar.

Banyak yang saya dapat daripada buku ini. Memang lain dari yang lain. Sungguh. Antaranya, perancangan dalam hidup sangat penting. Perancangan itu jambatan masa kini dengan masa depan. Jisrun bayna I-hadiri wa'l mustaqbal.

Salsabila berkata lembut; "Tawakal ada tiga jenis. Pertama mengenai qismah atau nasib takdir, itulah garis yang ditetapkan Allah di Lauhul Mahfudz, maka wajib kita menerima. Kedua, dalam hal berjuang, mendepani suasana genting dan ketika uzur, maka bertawakal itu penting, tidak harus ada sedikit ragu. Bulatkan keyakinan, diri, berusaha dan bertawakal. Yang ketiga, mengenai rezeki, bahawa setiap manusia ada bahagian yang cukup untuk mereka. Tawakal mesti bersungguh-sungguh, kemudia baru menyerah keputusan kepada Allah. Disini juga dipetik dari ayat 23 surah al-Maidah, "Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman".

antara betik muda & kepaya Jakarta.

FT bijak bermain emosi. Saya terkadang hairan bagaimana beliau boleh menelusuri jiwa wanita. Matang bukan calang-calang. Kadang terbawa humor di dalam perbualan antara Teh Sofia dan Salsabila yang saya kira amat menyenangkan ketika permasalahan demi permasalahan yang dihadapi Salsabila menyesakkan dada. Saya amat santai ketika membaca. Kadang sungguh kritis dan seperti saya pula bermain watak bersama 'mereka'. Sungguh indah membacanya. Lagu 'Dalam Kenangan' seperti beralun di telinga saya. Saya senang akan persahabatan antara Salsabila, Lam Ping Hai dan Kamil di puncak bukit itu.

Saya ingat kata-kata Teh Sofia;

" Orang tak boleh pandang kita lemah. Kita perempuan Islam yang ada kekuatan dan maruah".

Ya, seperti kamu Salsabila, seperti Saidatina Khadijah dan Fatimah, juga seperti Sumayyah. Tidak lupa juga seperti Ungku Hamidah serta Ungku Nur dalam Surat-surat Perempuan Johor. Kita perlu kuat. Kita punya maruah dan identiti. Perempuan bukan hanya hiasan malah kita juga bisa berjihad. Itulah perempuan Islam yang berteduh dan dinaungi tauhid.

Sekian dari saya,

Syamimi Azmira


2 comments:

Jamilah Mohd Norddin said...

alam, Mimi, buku yang menyentuh rasa dan menaikkan semangat.. selamat bertemu...

syamimi azmira said...

Tentu sekali. Faisal Tehrani tidak pernah mengecewakan. Salam kenal. ;) Ahli MPR ye? Hebat. :)