Sunday, January 11, 2009

The Kite Runner : Mengungkap erti sebuah Persahabatan

The Kite Runner. Sebuah cerita persahabatan yang menarik diadaptasi dari novel karangan Khaled Hoseini memberi kesan yang mendalam bukan sahaja bagi yang membaca novelnya malah kepada yang menonton filem beliau. Garapan yang penuh teliti dari pelbagai sudut menjadikan filem ini tampak realiti dan dekat dengan hati penonton. Kabul di Afghanistan dijadikan latar tempat yang mengimbau kembali zaman kanak-kanak yang dilalui oleh Amir yang berketurunan Pashtun bersama dengan Hassan yang dianggap oleh rakan sebaya mereka terutama pembuli yang kejam iaitu Assef tidak layak untuk menjadi sahabat Amir kerana Hassan berketurunan Hazara (berkasta rendah).

Amir seorang anak bangsawan bersahabat baik dengan Hassan sering merasa rendah diri kerana beliau tidak setabah dan sesetia seperti sahabatnya. Tambahan lagi, Amir sering merasakan beliau adalah pembunuh ibunya kerana membuatkan ibunya meninggal dunia ketika melahirkannya. Ayahnya (baba) juga sering memuji ketabahan Hassan yang mana setiap anak Afghan perlu memilikinya dan sering membezakan Hassan dengannya.

Hassan mempunyai kelebihan untuk menangkap layang-layang usai permainan berbanding kanak-kanak lain yang perlu mengikut bayang-bayangnya. Layang-layang merupakan suatu permainan tradisi anak-anak Kabul dan setiap tahun akan diadakan suatu pertandingan untuk mencari siapa yang jaguh dalam permainan tersebut. Pada suatu hari, diadakan pertandingan layang-layang dan seperti biasa Amir dan Hassan menyertainya. Amir berjaya menjadi juara lantas Hassan berlari mendapatkan kembali layang-layang tersebut dan berjanji akan membawanya kepada Amir usai permainan mereka. Dalam perjalanan mendapatkan layang-layang itu, Hassan telah diugut oleh Assef untuk memberi layang-layang tersebut kepadanya sebagai suatu jaminan Hassan akan terselamat daripada dibelasah oleh Assef.

Kesetiaan yang dimiliki oleh Hassan terhadap Amir anak majikan ayahnya, Ali tidak goyah sama sekali dengan ugutan Assef. Dalam pada itu, Amir sebenarnya melihat kejadian yang berlaku antara Hassan dan Assef di sebuah lorong tetapi beliau mendiamkan diri. Assef bersama kwan-kawannya membelasah Hassan dan meliwatnya. Hassan tetap mendiamkan diri tidak memberitahu ayahnya akan apa yang berlaku kerana dia sedar siapa keturunannya.

Akhirnya, Hassan berjaya memulangkan kembali layang-layang tersebut kepada Amir dan beliau tidak tahu Amir ada di tempat kejadian. Amir berasa tercabar akan kesetiaan yang dimiliki sahabatnya dan merasakan maruahnya rendah sama sekali sebagai anak Afghan. Atas sebab itu, Amir menuduh Hassan mencuri jamnya supaya baba menghalau Hassan dan ayahnya, Ali. Mencuri merupakan suatu perbuatan yang paling dibenci oleh Baba dan Baba pernah berpesan kepada Amir, “Tidak ada kesalahan yang lebih besar dari mencuri. Jika kau bunuh seorang lelaki, engkau telah mencuri hak isteri dan anak-anak lelaki itu. Jika kau berbohong, engkau telah mencuri hak orang yang kau bohongi terhadap kebenaran”. Baba memaafkan Hassan kerana Ali telah lama bersamanya dan dianggap seperti keluarga sendiri tetapi Ali tetap mahu pergi meninggalkan majikannya kerana beliau berasa malu dengan apa yang berlaku.

Selepas apa yang berlaku, tentera Soviet telah menjajah bumi Afghanistan dan baba bersama Amir melarikan diri ke Amerika. Rumah baba dijaga oleh Rahim Khan sementara penjajahan tentera Soviet. Selepas tentera Soviet kembali ke Rusia, Afghanistan pula diambil alih oleh puak Taliban yang diberi gambaran sebagai pemerintahan yang agak kejam terutama kepada golongan wanita. Rakyat Afghan hidup dalam penderitaan dan serba kekurangan menyebabkan Rahim Khan berhijrah ke Pakistan. Tetapi sebelum Rahim Khan berhijrah, beliau ada mencari Hassan dan Hassan telah berkahwin pada masa itu serta mempunyai seorang anak iaitu Sohrab.

Rahin Khan menyuruh Hassan pindah ke rumah baba kembali dan bekerja di situ seperti sebelumnya. Semasa peninggalan Rahim Khan ke Pakistan, Taliban telah masuk ke rumah baba dan menghalau Hassan dan keluarganya keluar dari rumah itu. Tetapi Hassan seperti biasa setia akan majikannya iaitu sahabat baiknya sendiri enggan keluar dan menjaga rumah tersebut. Taliban mengheret Hassan keluar dari rumah dan menembak kepala Hassan. Isteri Hassan yang mengejar mayat suaminya dan enggan melepaskan Hassan turut ditembak oleh puak Taliban.

Amir yang menetap di California bersama isterinya (baba telah meninggal) menerima panggilan telefon dari Rahim Khan supaya pulang ke Afghanistan untuk menebus kembali kesetiaan yang diberikan oleh sahabat baiknya, Hassan. Amir perlu mendapatkan semula Sohrab dari terus dianiaya oleh puak Taliban. Sohrab telah dihantar ke rumah anak-anak yatim di Afghanistan. Pelbagai cabaran yang dilalui oleh Amir di Afghanistan ketika perjuangan beliau mendapatkan kembali Sohrab. Tambahan lagi, pada masa itu bumi Afghanistan tidak seperti zaman kanak-kanak yang mana bunga tumbuh mekar di setiap jalanan.

Beliau berjaya mendapatkan kembali Sohrab setelah menempuhi pelbagai halangan termasuk dibelasah oleh orang kuat Taliban iaitu Assef seorang kanak-kanak yang menjadi penyebab besar persahabatannya musnah. Setelah berjaya melepasi halangan, Amir membawa Sohrab ke Pakistan untuk bertemu dengan sahabat babanya iaitu Rahim Khan. Malangnya, Rahim Khan telah pulang ke Rahmatullah. Amir tinggal seketika di Pakistan sebelum pulang ke Amerika bersama Sohrab. Suatu pagi, Sohrab tiada di dalam rumah dan menyebabkan Amir risau akan kehilangannya dan keluar untuk mencari Sohrab. Akhirnya, Amir menjumpai Sohrab di dalam masjid untuk beribadah. Antara babak yang menyentuh jiwa kerana Sohrab seperti membuka hati dan jiwa Amir untuk kembali kepada fitrahnya iaitu kembali mengenal Allah s.w.t. Amir bersolat di masjid itu setelah lama beliau tidak melakukannya di bumi Amerika. Lagu yang dibawakan oleh Sami Yusuf pada masa itu dijadikan lagu latar, seperti biasa meruntun jiwa pendengar.

Akhirnya, Amir telah berjaya membawa Sohrab pulang ke Amerika untuk hidup bersamanya. Isterinya menerima Sohrab seperti anaknya sendiri. Sohrab bahagia hidup bersama 'pakciknya' dan layang-layang pun kembali melakar indah sebuah persahabatan di awanan...

"For u, a thousand times over"

-------------

Sebuah kisah yang MESTI disingkap oleh kita.

p/s: saya agak terlewat kali ini. Ni semua gara-gara 'janji manis' si apek di BBU sana. Huh, mahu boikot kamu. Btw, thanks Speedy for the Kite Runner :)

biar terpisah kita, jangan putus tali persahabatan. Seperti menarik tali lelayang, tinggi di awan tetapi kemas dalam genggaman.

No comments: