Tuesday, December 16, 2008

Tawarikh Cinta


Tawarikh
membuka gapura masa
buat kembara merentas alam, melangkau zaman
mengenalkan diri akan tunjangnya
sampai terungkaplah makna cinta

Akhirnya selesai juga saya menelusuri Tawarikh Cinta karya Nisah Harun walaupun mengambil masa yang agak lama dari kebiasaan. Thanks untuk adik sebab hadiahkan akak buku ni sempena apa saya pun tidak tahu. Sudah lama saya mahu memiliki buku ini tetapi banyak perkara yang saya perlu aulakan terlebih dahulu. Memiliki mana yang wajib didahulukan.

Penceritaan yang bagus dengan gaya bahasa yang penuh gramatis mengingatkan saya kembali ke zaman sekolah menengah. Jika kita masih ingat lagi dengan buku KOMSAS seperti Sehijau Warna Daun, Seuntai Kata Untuk Dirasa, Anak Bumi Tercinta dan Kerusi, tidak jauh bezanya dengan konsep yang dibawa oleh Nisah Harun iaitu dengan mengetengahkan keindahan Bahasa Melayu sebagai lingua franca suatu masa dahulu dan kesyumulan Islam. Dalam pada itu, diselitkan juga akan kepentingan ilmu dalam sesebuah negara selain mempunyai pemimpin yang berwibawa.

Cerita ini dimulakan dengan mimpi yang dialami oleh Putera Jauhari Firus yang mana didatangani moyang beliau iaitu Ratu Hassanatul Ridhwan Kesuma yang menitahkan untuk mencari Kitab Gemala Sakti yang asli. Mimpi yang sama juga dialami oleh adinda baginda, Puteri Cempaka Wilis. Mereka berdua bertanggungjawab memimpin negeri yang diberi nama Ujana Madani setelah mangkatnya ayahanda Sultan.

Keadaan istana pada masa itu agak meruncingkan kerana pembesar-pembesar istana lagaknya tidak ubah seperti 'gunting dalam lipatan'. Putera Jauhari Firus menanam keazaman untuk mengembalikan kegemilangan Ujana Madani seperti zaman moyangnya dengan mendapatkan kembali Kitab Gemala Sakti yang asli. Dalam mimipi Puteri Cempaka Wilis, Ratu Hassanatul sempat berpantun bahawasanya Kitab Gemala Sakti itu diamnya di Temasik. Setelah menjalankan as-Syura bersama ayahanda Wazir Syamsul Azmi, Putera Jauhari membuka gapura masa, merentas alam dan melangkau zaman dalam pencarian seorang penyelamat serangan ikan todak yang dihukum pemimipin negaranya hanya kerana beliau memiliki sifat cendekiawan.

Pelbagai pergolakan yang berlaku sebelum majlis pertabalan disempurnakan. Tidak kurang juga dengan cabaran dan onak duri yang dialami oleh Putera Jauhari Firus bersama adindanya dalam mengembalikan Kitab Gemala Sakti yang asal. Dalam pengembaraan Nadim ke Ujana Madani, beliau dibawa kepada susur galur sebenar dirinya. Siapakah sebenarnya pemuda yang bernama Nadim? Dan dapatkah pula Putera Jauhari Firus mengembalikan Kitab Gemala Sakti ke duduknya yang asal? Tawarikah Cinta punya jawapan.

"Perintahlah Ujana Madani dengan jurus keadilan.
Kekuatan seorang perempuan itu tersimpan pada kelembutannya.
Bukankah pada lembutnya air yang mengalir,
kelikir di sungai beralah
menjadi pasir?


p/s:Karya yang membawa kerinduan saya pada Salsabila Fahim, Ungku Hamidah dan Syarifah Nusaybah.

2 comments:

yani_worldpeace said...

cerita die macam fantasi sket kan, berkenaan dengan mimpi...interesting gaks...

syamimi azmira said...

yeap. firstly, mmg dah agak mesti mimpi. Macam pelik, moyang dia boleh hidup lagi. Heheh...:)

Nisah Harun tidak pernah mengecewakan hati peminatnya. :D