Friday, January 30, 2009

Menang ataupun syahid: Tariq bin Ziyad

Minggu pertama cuti saya habiskan masa dengan membaca sebuah novel sejarah Islam kepunyaan adik. Sebelum ini, saya hanya membaca kisah Salahuddin al-Ayubi sahaja dan pada saya ianya sebuah kisah yang wajib dibaca oleh setiap dari kita. Kali ini, saya ingin menyingkap kisah seorang pahlawan Islam yang berjihad dalam membina empayar Islam di Andalusia.

Kisah bermula apabila Panglima Julian dan rombongannya dari Andalusia datang menghadap Musa bin Nusair yang pada waktu itu menjadi pemerintah Islam di Afrika. Tujuan kedatangan Panglima Julian adalah untuk mengharapkan pertolongan dari Musa bin Nusair dalam menentang Raja Rodriega iaitu pemimpin di Andalusia yang terkenal dengan kekejamannya terhadap rakyat. Panglima Julian berharap dengan kedatangan Musa bin Nusair dan tentera Islam dapat menegakkan keadilan dan menghapuskan penindasan terhadap rakyat.

Panglima Julian yang merupakan Gabenor Ceuta rasa sangat kecewa dan dendam terhadap Raja Rodreiga dan askar-askar Gotiknya kerana telah memperkosa Florinda (anaknya) sanggup memberikan kerjasama dan menyediakan 12 buah kapal perang kepada Musa bin Nusair dan tenteranya untuk datang ke Andalusia demi menegakkan keadilan dan menghapuskan kekejaman. Musa bin Nusair melantik Tariq bin Ziyad sebagai pemimpin angkatan tentera walaupun ditentang oleh beberapa panglima kerana Tariq pernah menjadi budak suruhan kepada Musa bin Nusair. Tetapi, Musa bin Nusair tetap dengan keputusannya kerana beliau tahu Tariq bin Ziyad mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani.

Tariq bin Ziyad kemudian berangkat ke Andalusia bersama 12 ribu orang tentera yang sanggup berjihad dan mereka akhirnya selamat mendarat di Andalusia. Setibanya di sana, Tariq bin Ziyad mengumpulkan tenteranya di Gibraltar (jabal Tariq) dan berteriak dengan penuh semangat, "di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!".

Dengan kata-kata itu, Tariq bin Ziyad berjaya meniupkan semangat tenteranya untuk menentang 100 ribu tentera Gotik . Tambahan lagi, Tariq bin Ziyad telah membakar kesemua kapal yang mereka gunakan supaya askar-askarnya dapat berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Tujuan kedatangan Tariq bin Ziyad yang pada mulanya merupakan pasukan peninjau terus berjihad untuk menang dalam sesuatu peperangan ataupun syahid di medan perang.

Pertempuran sengit terus berlaku antara tentera Gotik yang diketuai oleh Raja Rodreiga dengan pasukan yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad. Akhirnya tentera Islam berjaya dalam peperangan sengit pada 19 Julai 711 Masihi dan Raja Rodreiga turut terkorban dalam pertempuran tersebut.Tariq bin Ziyad terus mengukir kejayaan dengan menakluk beberapa kawasan di Andalusia, antaranya Kordoba, Malaga, Granada, Toledo dan sebagainya. Setelah berjaya menakluk beberapa kawasan, Musa bin Nusair bersama askar di bawah pimpinannya tiba dari Afrika. Mereka bergabung untuk menakluk seluruh Andalusia. Dengan semangat jihad yang tinggi, mereka akhirnya berjaya membina empayar Islam di bumi Andalusia sehingga lebih dari 500 tahun.

Nama Tariq bin Ziyad terus harum di bumi Andalusia kerana beliau yang hanya merupakan seorang budak suruhan dan bukan pula dari keturunan Arab telah berjaya mencipta sejarah dengan penaklukan wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam. Revolusi sosial timbul dari penaklukan Andalusia iaitu kebebasan agama benar-benar diakui di bawah pemerintahan Islam.
-------------
mini al-hambra
Serba sedikit ulasan saya setelah menelusuri kisah Tariq bin Ziyad ini. Untuk mengetahui lebih lanjut perjalanan kisah pahlawan Islam ini, bolehlah mendapatkan novelnya di kedai buku yang berdekatan. [promote la pulak] heheh. Setelah membacanya, teringin pula saya ke Spain untuk menjejaki sendiri perjalanan yang dilalui oleh Tariq bin Ziyad bersama tenteranya. Tidak banyak tinggalan Islam yang masih ada di sana, tapi saya percaya ada sesuatu yang amat berharga untuk kita jejaki...

"... seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian. "

Tariq bin Ziyad.

Sejarah adalah bayang-bayang untuk langkahan seterusnya
Jika kemas langkahan anda
selamat perjalanan yang dituju
p/s: kak su, seru nama saya pabila di al-hambra nanti :)

7 comments:

suraya said...

wuu~
syamimi~
dah seru dah.hehe.

doakan akak sampai sana yep.:)

syamimi azmira said...

hahaha (",)
bkn seru kat sini lah kak su, kat kordoba sana nnt.

InsyaAllah. saya doakan matlamat akak tercapai :)

alFaisal said...

Setahu saya Al-Andalus berusia lebih kurang 700 tahun bukan 500 :) Menjadikannya sebuah empayar unik (sebab tempohnya bertahan lama) malahan makmur dengan kemajmukan masyarakat. Sehinggakan zaman keemasan kebudayaan Yahudi pun terjadi di bawah payung al-Andalus :)

syamimi azmira said...

ouh.
saya statekan dalam post ni lebih 500 tahun kan. hehe. saya tak cakap pun lebih 500 tahun dan kurang dari 700 tahun. Saya ulas berdasarkan kandungan buku yang saya baca.

btw, thanks sebab sudi betulkan & maaf atas kekhilafan yang timbul.

jgn segan2 nak bagi komen lagi ye (",)

alFaisal said...

oh maaflah sebab selintas baca saya menyangkakan awak menyebut 'lebih kurang' 500 tahun :) Ayat saya sendiri bukan ayat pembetul, tetapi buka ruang perbincangan kalau-kalau fakta saya salah. Sekali lagi meminta maaf kalau konotasi komen saya tidak disenangi :)

Wasalam

syamimi azmira said...

Tidak mengapa. Saya buka ruang ini untuk perkongsian ilmu. Masing-masing bebas memberikan pendapat, membetulkan mana yang silap & menambah mana yang kurang.

Tiada unsur tidak puas hati atau pendapat yang tidak disenangi di sini. Saya terima dengan ikhlas (",)

Jemput singgah lagi a. Edry :-)

Shopgeek said...

slm..saya ada baca buku ni sblum ni...mmg best!boleh dpt dirasakan perjuangan beliau dan kata2 hikmahnya...moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan tenteranya.